April 22, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Pada mulanya, ahli Parlimen pembangkang yang meminta undian belah bahagi untuk memutuskan usul itu.

Seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee kemudiannya menangguhkan prosiding untuk makan tengah hari kerana ia diluluskan pada 1.02 tengah hari dan undi blok boleh diteruskan selepas itu.

Ketika itu, Dewan Rakyat baru selesai membahaskan usul yang dibawakan menteri kewangan, iaitu Akta GST 2014 yang dijadikan kertas statut.

Anthony Loke (Seremban-DAP) yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ismail dan Kiandee, segera mengajak ahli Parlimen pembangkang keluar dewan.

“Oleh kerana belah bahagi disalahgunakan, maka kami boikot,” kata Loke.

Selepas sidang bersambung pada 2.30 petang, kebanyakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hadir di dalam Dewan Rakyat.

Ketika itu, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan undian belah bahagi.

Ketika ahli Parlimen pembangkang meninggalkan dewan, ahli Parlimen BN menggelarkan mereka pengecut.

Cadangan Zahid disokong lebih 15 ahli Parlimen BN.

“Oleh kerana lebih daripada 15 orang bangun untuk belah bahagi, maka mengikut Peraturan Mesyuarat 46(4), saya memerintahkan supaya suatu belah bahagi diadakan sekarang,” kata Ismail.

Sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan 101 ahli Parlimen BN bersetuju menjadikan Akta GST 2014 sebagai kertas statut.

Sementara itu, Loke pada sidang media di luar Dewan Rakyat berkata, pembangkang mencadangkan undian belah bahagi kerana mendapati wakil rakyat BN tidak ramai dalam dewan dan mahu menyingkirkan usul berkaitan GST itu.

“Speaker sepatutnya memutuskan undian belah bahagi ketika itu, tetapi beliau tangguh ke 2.30 petang. BN kemudian memanggil semua ahli Parlimen mereka balik, termasuk menteri dan timbalan perdana menteri.

“Ini kali pertama timbalan perdana menteri meminta undian blok diadakan dan kami keluar dewan kerana merasakan proses undian itu disalahgunakan.

“Kami termasuk PAS akhirnya meninggalkan dewan.”

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berkata, boikot itu bertujuan memberi pengajaran kepada BN yang ponteng prosiding Dewan Rakyat.

“Kami mahu ajar ahli Parlimen, timbalan menteri dan menteri satu pengajaran, jangan ponteng sidang Parlimen.

“Ini adalah pengajaran yang mereka boleh pelajari hari ini, jangan mengambil mudah Parlimen. Ia adalah tanggungjawab mereka untuk hadir ke Parlimen.”



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons