April 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Oleh : Bernama

Mahkamah Sesyen semalam memerintahkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah membela diri terhadap enam pertuduhan memberi pernya­taan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya, tahun lalu.

Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan, yang telah memanggil 11 saksi semasa perbicaraan bermula 9 Jan lepas, berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Adam Rosly, di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah telah membaca, meneliti, mendengar dan menilai keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara maksima. Mahkamah memutuskan wujudnya kes prima facie terhadap kes pendakwaan,” katanya yang menetapkan 4 hingga 6 April untuk tertuduh membela diri,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib manakala Adam Rosly diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Datuk Sulaiman Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mertua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada along.

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucer tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang, 22 Feb tahun sama.

Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons