April 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terkejut apabila dimaklumkan Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melantik jurunilai bebas untuk membuat penilaian semula aset Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash).


Adalah tidak wajar Kerajaan Selangor memanggil penilai bebas untuk melakukan penilaian semula kerana nilainya telah dipersetujui sewaktu Abdul Khalid menjadi Menteri Besar.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau berhubung perkara itu:

1. Memandangkan Speaker telah memutuskan hanya satu wakil dari parti politik sahaja yang dibenarkan berbahas Titah Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor di dalam Dewan dan saya selaku ADUN Bebas tidak diberi peluang maka saya terpaksa mengemukakan pendapat saya di akaun media sosial untuk manfaat kita bersama.

2. Saya menjunjung kasih ke atas Titah Tuanku Sultan dan mengambil berat nasihat Tuanku supaya dipercepatkan penyusunan industri air Selangor untuk dimuktamadkan. Walau apapun alasan bagi kelewatan menyelesaikan proses pengambilan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH), ianya telah pun merugikan rakyat serta memberi kesan buruk kepada pengurusan dan perkhidmatan air Selangor.

3. Mengikut kiraan kasar saya, kelewatan ini telah memberi beban tambahan berjumlah RM2 bilion kepada rakyat Selangor yang akhirnya akan terpaksa dibayar melalui kenaikan tariff air.

4. Saya percaya DYMM Tuanku – yang telah menitah agar Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan pengambilalihan SPLASH, pastinya akan meminta penjelasan yang munasabah sebelum membenarkan beban tambahan dikenakan kepada rakyat.

5. Saya suka mengingatkan rakyat Selangor bahawa di bawah pentadbiran saya, Selangor telah berjaya mengambilalih tiga syarikat konsesi iaitu Syabas, Abbas dan Punchak Niaga. Hanya SPLASH sahaja yang masih gagal diambialih kerana syarikat tersebut menuntut tawaran pampasan yang lebih tinggi dari tawaran yang saya lakukan pada 2014.

6. SPLASH turut mengatakan tawaran pampasan bahagian ekuiti dalam tawaran terakhir Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah dipotong hampir RM2 billion dan berlaku ketidakadilan kepada pemegang konsesi tersebut.

7. Hakikatnya, di setiap tiga tawaran terakhir bertarikh 20 Februari 2013, 21 November 2013 dan 26 Februari 2014, bukan sahaja nilai tawaran keseluruhan konsisten sebanyak RM9.65 billion, malah pampasan bahagian ekuiti jika digabungkan bagi Puncak Niaga dan Syabas kekal sebanyak RM1.55 billion tanpa sebarang peningkatan manakala bagi SPLASH juga tidak berubah langsung sebanyak RM251 juta. Liabiliti berkaitan air yang bakal diambilalih juga kekal sama sebanyak RM4.039 billion bagi Puncak Niaga dan Syabas jika digabungkan serta RM1.584 billion bagi SPLASH pada ketiga-tiga tawaran terakhir tersebut.

8. SPLASH juga mempertikaikan metodologi penilaian yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri iaitu pulangan ekuiti tahunan tanpa dikompaun pada kadar 12% dan bukannya kaedah “discounted cash flow” (DCF) atau kaedah “net asset value” (NAV) iaitu nilai aset bersih yang lazimnya menjadi pilihan bagi mentaksir nilai saksama pampasan dalam pengambilalihan syarikat.

9. Hakikatnya, metodologi yang kita guna yakni pulangan ekuiti 12% setahun bukan kita ambil dari langit tetapi merupakan metodologi yang wujud di dalam satu klausa Perjanjian Penswastaan itu sendiri. Maka, menggunapakai kaedah ini konsisten dengan terma dan syarat Perjanjian tersebut dan selari dengan konsep mengekalkan “kesucian” kontrak yang sah di sisi undang-undang. Pengambilan ke atas ketiga-tiga syarikat konsesi lain telah menggunakan metodologi ini. Maka adalah tidak adil dan tidak munasabah sekiranya kaedah yang tidak seragam digunapakai untuk memenuhi permintaan mana-mana syarikat konsesi air tertentu (SPLASH).

10. Walau bagaimanapun nampaknya pendekatan tersebut seperti dikompromi oleh pentadbiran kerajaan negeri dan kita dimaklumkan melalui media kerajaan, Selangorkini kerajaan negeri telah bersetuju untuk menawarkan sejumlah RM2.7 billion bagi mengambilalih ekuiti syarikat SPLASH. Ini bermakna tawaran ini melebihi 10 kali ganda dari tawaran asal yang telah dipersetujui di antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan di dalam Perjanjian Utama ketika memuktamadkan proses penstrukturan semula industri air di Selangor.

11. Apabila saya mempersoalkan keputusan kerajaan negeri tersebut YAB Menteri Besar telah membuat tohmahan kononnya saya juga telah pada tahun 2009 membuat tawaran sebanyak RM2.92 billion kepada SPLASH bagi nilai ekuiti syarikat tersebut. Nampaknya Menteri Besar keliru lagi mengelirukan. Hakikatnya tawaran RM2.92 billion yang saya tawarkan kepada SPLASH pada 2009 adalah jumlah keseluruhan pengambilan syarikat bukan setakat ekuiti sahaja.

12. Justeru alasan atau justifikasi kerajaan negeri bahawa saya juga telah pada 2009 menawarkan sejumlah RM2.92 billion bagi nilai ekuiti adalah terpesong dan sengaja mahu mengelirukan rakyat. Tambahan pula setiap tawaran yang dilakukan kerajaan negeri akan dengan sendirinya terbatal sekiranya terdapat pemegang konsesi yang menolak tawaran dan jika ianya tamat tempuh yakni selepas 14 hari ianya ditawarkan.

13. Kerajaan Negeri selain gagal memberi tumpuan kepada kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor, malah telah menyokong tuntutan pemegang konsesi dan secara tidak langsung menuduh saya berlaku tidak adil atau lebih keras lagi zalim kepada SPLASH kerana menawarkan nilai ekuiti sebanyak RM250 juta.

14. Saya menegaskan bahawa asas penstrukturan semula syarikat air adalah kerajaan negeri hendaklah membuat tawaran yang munasabah dan tiada mana-mana syarikat akan mengalami kerugian dari pelaburan yang telah mereka lakukan di dalam industri tersebut. Saya menegaskan tawaran kepada SPLASH adalah berpatutan, tidak merugikan syarikat dan pada masa yang sama demi menjaga kepentingan rakyat.

15. Untuk makluman, pada 2013 tanggungan SPLASH berjumlah RM1.58 billion, oleh itu dengan tawaran ekuiti sejumlah RM2.7 billion, ini bermakna kerajaan negeri sanggup menawarkan sejumlah RM4.2 billion (RM2.7 + RM1.58 ) kepada SPLASH dan jumlah tersebut melebihi harga siling penstrukturan semula industri iaitu RM9.65 billion.

16. Apa yang merunsingkan saya ialah kerajaan negeri tidak menyatakan dari manakah wang lebihan tawaran ekuiti berjumlah RM 2.45 billion (RM2.7 billion tolak tawaran asal RM250 juta) akan diperolehi. Ada kemungkinan wang rizab Selangor yang berjumlah RM3.2 billion akan digunakan sedangkan kos pembinaan Loji Labuhan Dagang berjumlah RM800 juta juga akan menggunakan wang rizab tersebut. Jika ini benar-benar berlaku nampaknya wang rezab Selangor akan kembali seperti sebelum 2008.

17. Seperkara lagi saya juga amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa Selangor telah melantik Jurunilai Bebas untuk membuat penilaian aset SPLASH malangnya nilaian tersebut telah ditolak oleh Kerajaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan tidak mahu membayar lebih dari yang termaktub di dalam Perjanjian Utama yang ditandatangani sebelum ini iaitu RM9.65 billion. Adalah tidak wajar bagi Kerajaan Negeri memanggil penilai lain untuk melakukan penilaian semula. Sesungguhnya itu bukan peranan kerajaan negeri dan tindakan tersebut menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri mempunyai kepentingan dan berusaha keras untuk menambah harga tawaran dan dilihat seperti mahu memperkayakan pemegang konsesi.

18. Saya tegaskan di sini di dalam Perjanjian Utama yang ditandatangani ada memperuntukkan bahawa mana-mana Syarikat konsesi yang tidak berpuas hati dengan tawaran kerajaan negeri maka mereka berhak merujuk perkara tersebut kepada Badan Timbang Tara Antarabangsa bagi mendapatkan keadilan. Saya begitu hairan mengapa kerajaan negeri yang beriya-iya memperjuangkan kepentingan syarikat konsesi sehingga sanggup meminda tawaran 10 kali ganda dari tawaran asal.

19. Saya tetap mempertahankan pandangan saya bahawa kerajaan negeri Selangor tidak boleh membuat tawaran melebihi dari apa yang telah dibuat pada 2014 dahulu. Sebarang usaha untuk membayar lebih dari yang ditetapkan merupakan pengkhianatan kepada kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kita.

20. Berdasarkan perbualan saya dengan YAB Menteri Kewangan dan YB Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya bersedia menunaikan janji membiayai kos pengambilalihan pada harga RM9.65 bilion selari dengan Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada 2014. Justeru, jika ada sebarang kenaikan harga maka ianya akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri sendiri.

21. Maka di situlah bermulanya kelewatan, dalam pada kerajaan negeri mahu membayar lebih kepada SPLASH tetapi meminta kerajaan persekutuan menampungnya. Jika Kerajaan Negeri meneruskan hasrat untuk membayar lebih kepada SPLASH, pastinya rizab simpanan Kerajaan Negeri Selangor sejumlah RM2 bilion akan menjadi korban.

22. Saya juga ada mendengar kerajaan Negeri juga bercadang mengeluarkan bon hutang air untuk membiayai pembayaran lebih kepada SPLASH. Tetapi ini hanya boleh berlaku jika Kerajaan Persekutuan memberi kebenaran. Apa-apapun caranya, hutang Negeri Selangor akan bertambah sekurang-kurangnya RM2 bilion dan seperti yang saya sebut tadi, tariff air pastinya perlu dinaikkan bagi menampung tambahan kos.

23. Pada hemat saya titah nasihat DYMM Tuanku tentang isu air ini perlu disambut oleh Kerajaan Negeri dengan pelaksanaan yang telus, amanah dan bertanggungjawab.

24. Saya menggesa agar keputusan yang diambil oleh Kerajaan Negeri dibincangkan dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dihebahkan agar rakyat memahami proses dan keputusan yang dibuat. Terdapat keperluan untuk menyiasat mengapa terdapat kelewatan dalam pelaksanaan penyusunan semula industri air Selangor.

25. Berkenaan hal ini, kita perlu bertanya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kenapa kuasa/lesen pembersihan air tidak diberi sepenuhnya Kerajaan Negeri. Ini adalah kerana kuasa ini penting untuk mempercepatkan proses pengambilalihan ekuiti SPLASH.

26. Kepentingan Kerajaan Negeri perlulah tertumpu kepada keadilan untuk rakyat. Pastinya syarikat konsesi juga perlu memperolehi keuntungan dalam peniagaan tetapi pulangannya perlulah berpatutan serta sepadan dengan risiko perniagaan yang dipikul. Apa pun keuntungan yang diperolehi oleh SPLASH, Kerajaan Negeri perlu hebahkan cara pelaksanaan dan pengiraan yang dibuat.

27. Kerajaan Negeri juga bertanggungjawab memastikan syarikat konsesi tidak menikmati keuntungan berlebihan selari dengan konsep pertanggungjawaban dalam menjalankan amanah rakyat. Jika tidak, bukan sahaja Kerajaan Negeri akan dipertanggungjawabkan malah pastinya akan timbul fitnah bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri bertindak demi keuntungan syarikat konsesi hingga menekan rakyat Selangor.

*Sumber:* http://www.malaysiakini2.com/khalid-terkejut-azmin-lantik-jurunilai-bebas-untuk-splash/



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons