April 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


 

Pengerusi PAC berkata, 5 daripada 12 pejabat
kebajikan masyarakat daerah didapati tidak mematuhi arahan ketua
pengarah JKM yang mahu Bantuan Orang Tua dibuat melalui bank.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati ada
kelemahan dalam pengagihan Bantuan Orang Tua (BOT) berdasarkan Laporan
Ketua Audit Negara 2016 siri 1, termasuk penerima yang meninggal dunia
masih mendapat elaun itu.

Sehubungan itu, Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin mencadangkan
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengkaji semula
skim bantuan tunai itu.

“Terdapat kelemahan terhadap proses pengesahan penerimaan dan
pembayaran, kad tuntutan tidak dilengkapi ciri keselamatan dan terdapat
pembayaran BOT kepada penerima yang sudah meninggal dunia,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 5 daripada 12 pejabat kebajikan masyarakat daerah
tidak mematuhi arahan ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
yang mahu BOT dibuat melalui bank.

“Pembayaran tunai BOT bagi November 2016 adalah RM547,200. Terdapat
kelemahan dalam agihan tunai BOT seperti pengiraan wang beramai-ramai
tanpa had.”

Katanya, PAC turut mendapati berlaku penyalahgunaan bantuan geran
peruntukan Pusat Perkhidmatan Warga Emas dengan pinjaman RM95,200
diberikan kepada penyelia dan badan bukan kerajaan yang menguruskan
Pusat Perkhidmatan Warga Emas.

“Perbelanjaan sejumlah RM70,988 oleh Pusat Perkhidmatan Warga Emas
tidak mengikut garis panduan ditetapkan dan tiada permohonan dibuat
untuk perbelanjaan tersebut.

“Tiada permohonan dibuat bagi lebihan belanja sejumlah RM46,733
semasa perolehan peralatan dan kelengkapan Pusat Perkhidmatan Warga Emas
serta masih tidak beroperasi sejak penubuhannya pada November 2015.”

Hasan berkata, PAC sudah mengadakan mesyuarat prosiding berhubung isu
dibangkitkan Jabatan Audit Negara yang turut dihadiri Ketua Setiausaha
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani
Ahmad dan Ketua Pengarah JKM, Mohd Fazari Mohd Salleh.

Katanya, PAC membuat beberapa cadangan kepada Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, termasuk mengkaji semula senarai
penerima bantuan BOT dan meningkatkan kadar BOT sejajar kenaikan kos
sara hidup.

“Kaedah kajian semula penerima bantuan BOT bagi tujuan lanjutan
tempoh bantuan perlu diteliti dan diperkemas bagi mengelakkan bantuan
kepada penerima yang layak, terputus atau tertangguh.”

Beliau berkata, JKM juga perlu menyediakan latihan khusus kepada
kakitangan Pusat Perkhidmatan Warga Emas bagi memastikan penjagaan lebih
profesional.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta JKM
perlu memastikan setiap peralatan dibekalkan kepada Pusat Perkhidmatan
Warga Emas diselenggara dengan baik serta tidak hanya bergantung kepada
geran kerajaan semata-mata.

“Kekerapan tinjauan dan pemantauan di lapangan oleh pihak kementerian atau jabatan perlu dilaksanakan.”



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons