April 22, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Catatan Parlimen : PAS Sokong RUU Anti Berita Tidak Benar

1. Pada petang ini, Dewan Rakyat selesai membahaskan dan meluluskan Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar.
Keputusan pengundian belah bahagi peringkat dasar ialah 123 undi menyokong manakala 64 undi menentang.

2. PAS membuat keputusan berani untuk menyokong Rang Undang-Undang Anti Berita Tidak Benar walaupun sudah pasti ia akan mendapat kecaman begitu hebat oleh sekalian pemimpin dan juak Pakatan Harapan. PAS membuat pendirian untuk menyokong kerana ianya adalah selaras dengan ajaran Islam yang melarang penyebaran berita fitnah, tidak benar atau bahasa moden disebut ‘fake news’.

3. Dalam keterbatasan had masa 15 minit, Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali mewakili Ahli Parlimen PAS membahaskan RUU tersebut.

Antara intipati utama ucapan perbahasan YB Kuala Nerus ialah;



a) Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad yang bermaksud;


“akan datang kepadamu zaman yang penuh tipu daya, orang yang berbohong dianggap benar dan orang yang bercakap benar dianggap berbohong, orang yang khianat diberikan amanah manakala orang yang amanah dianggap pengkhianat. 


Berbicara pada zaman itu ar-ruwaibidoh.
Para sahabat bertanya kepada Nabi, siapa itu ar-ruwaibidoh?


Nabi menjawab ia adalah lelaki yang bodoh bercakap perkara besar yang melibatkan negara”.

b) Ayat Al Quran pula menyebut yang bermaksud;



“jika datang seorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita maka hendaklah kamu mendapatkan keterangan atau bukti penjelasan kerana bimbang nanti kamu boleh menimpa suatu musibah kepada kaum atas sebab kejahilan, lalu jadilah kamu atas apa yang kamu lakukan itu, orang-orang yang menyesal.”
Ayat ini diturunkan apabila Nabi Muhammad S.A.W menghantar lelaki bernama Al Walid bin Uqbah untuk mengutip zakat daripada kampung Bani Mustoliq.
Apabila dia sampai, penduduk kampung dengan gembira keluar beramai-ramai untuk menyambut utusan Nabi.
Namun, keadaan ini disalahfaham oleh Al Walid.
Dia menyangka penduduk mahu membunuh dan menyekatnya.


Lalu Al Walid pulang bertemu Nabi dan memaklumkan bahawa penduduk enggan membayar zakat sehingga Nabi berasa murka.

Apabila sampai berita itu kepada penduduk Bani Mustoliq, mereka pun menyampaikan utusan kepada Nabi bagi memperjelaskan keadaan sebenar mengapa mereka keluar beramai-ramai?

Kisah ini menunjukkan bahawa berita yang silap dan salahfaham tanpa sebarang penyelidikan boleh menghancurkan masyarakat.

c) Berlaku juga pada zaman Nabi penyebaran berita palsu yang melibatkan Saiyyidatina Aisyah, isteri baginda yang menjadi mangsa fitnah yang dibuat oleh orang munafiq pimpinan Abdullah bin Ubai bin Salul. Hadis Al Ifk ini menunjukkan Islam mengangkat berita yang benar.

b) YB DAP Bukit Mertajam bertanya berkenaan pandangan bahawa masalah sekarang bukannya undang-undang tetapi pelaksanaannya yang disalah guna dan tidak adil?

YB Kuala Nerus bersetuju dengan pandangan tersebut kerana kebimbangan bukannya pada akta tetapi pelaksanaan kepada akta tersebut. Kita memerlukan orang yang tulus, jujur dan amanah dalam melaksanakan akta yang baik.

c) Hadis Nabi ada menyebut yang bermaksud;

“apabila amanah disia-siakan maka tunggulah hari Qiamat.
Para Sahabat bertanya kepada Nabi apa makna amanah disia-siakan? Nabi menjawab apabila suatu amanah dan urusan pemerintahan diberikan kepada orang yang tidak layak maka, tunggulah berlakunya hari Qiamat.

Oleh sebab itulah, pentingnya pada PRU 14 nanti, memilih mereka yang bakal mentadbir negara ini ialah mereka yang kita yakin boleh melaksanakan akta ini dengan baik, beramanah untuk kebaikan rakyat dan negara.

d) YB Rantau Panjang pula bangun mencelah bertanya berkenaan viral berita palsu kononnya PAS menerima dana 90 juta 1 MDB , PAS berUG dengan UMNO dan bermacam tuduhan lagi.?

YB Kuala Nerus menjawab dengan memetik hadis Nabi yang bermaksud; 

“kalau tidak kerana pembuktian, tentu manusia akan mendakwa apa yang dia mahu dakwa.” Inilah yang berlaku sekarang. Tanpa sebarang bukti, dakwaan dibuat terhadap individu, kelompok, parti dan pelbagai pihak. Perlu dipertegaskan pentingnya pembuktian sepertimana hukum asal yang menyebut “manusia itu bebas daripada sebarang tuduhan”.

e) Tetapi, yang peliknya berlaku sekarang mereka berkata, “kalau tidak betul, samanlah”. Saman memerlukan kos dan masa yang bertahun lamanya bagi membersihkan nama mangsa fitnah sedangkan tuduhan dan tohmahan itu sangat zalim yang menyebabkan reputasi individu jatuh. 

Kita perlu kembali kepada hukum Islam yang turut diterimapakai dalam sistem keadilan di seluruh dunia.
Kenapa mahu ubah sistem itu kononnya saman itu penentu suatu tuduhan adalah benar ataupun tidak.? Ini adalah kaedah yang salah.

f) YB MCA Simpang Renggam turut bertanya berkenaan tuduhan kononnya PAS menerima duit UMNO, adakah ia sejenis fitnah?

Lalu, YB Kuala Nerus dengan tegas menjawab ia adalah fitnah yang begitu besar bagi yang menuduh PAS menerima duit daripada UMNO. 

YB Kuala Nerus sendiri difitnah kononnya beliau membeli kereta dengan menggunakan duit UMNO sedangkan dia mempunyai pendapatan sebagai Ahli Perniagaan selain daripada pendapatan Ahli Parlimen. 


Tuduhan jahat ini merosakkan maruah dan imej bukan sahaja individu tetapi turut melibatkan PAS secara keseluruhannya.

4) Atas prinsip Islam yang melarang fitnah dan mengangkat kebenaran, PAS memilih untuk menyokong RUU ini.
Hakikatnya, PAS antara mangsa yang sering difitnah melalui berita palsu dan fitnah, maka, usahlah hairan apabila kita melihat gelagat Pakatan Harapan dan yang seangkatan dengannya seperti cacing kepanasan pula takut dengan RUU ini.

Oh, bukan kita tidak tahu mereka adalah antara pelaku utama yang sering menyebar berita fitnah dan fake news bagi memburukkan imej PAS.

Mereka melaung hak asasi dan kebebasan bersuara, tetapi adakah menyebar berita palsu dan fitnah adalah termasuk hak yang dibenarkan oleh Islam dan Perlembagaan Malaysia?

Persoalan asas ini wajib dijawab oleh pemimpin dan tentera siber PH sebelum terlalu galak menyerang PAS saban hari dengan bersenjatakan fake news.
Kalau tidak buat salah, mengapa takut dengan undang-undang ini.?

Catatan oleh;

Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
02 April 2018



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons