April 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


MELAKA 4 April – Sempena dengan sambutan ulang tahun ke-15 Melaka Bandaraya Bersejarah yang bermula pada 7 April ini, acara atau program yang diatur untuk warga Bandaraya Melaka Bersejarah pada dasarnya menggamit pelbagai kaum dan agama untuk sama-sama merasakan kemeriahan sambutan ulang tahun Melaka Bandaraya Bersejarah.

Berpesta selama seminggu, acara kemuncak pada 14 April ini dimeriahkan lagi dengan program Malam Inspirasi Cinta Ilmu bersama barisan artis popular tanah air iaitu kumpulan nasyid popular, Raihan, penyanyi lelaki solo yang tidak asing lagi, Aris Ariwatan, pendatang baharu dalam dunia seni suara, Nabila Razali, Adam Korie dan Angah Raja Lawak.

Dalam majlis yang diadakan di sini, baru-baru ini, Datuk Bandar, Datuk Zainal Hussin berkata, pembangunan negeri Melaka sangat rancak dari sebi pembangunan fizikal.

Justeru, tidak hairanlah jika Melaka, ujar Zainal yang memegang jawatan sebagai Datuk Bandar sejak tiga tahun lepas, menyasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah pelancong yang masuk ke negeri Hang Tuah itu.

“Kita mahu mengekalkan Melaka dengan status Negeri Maju menjelang 2020 sepertimana yang diiktiraf oleh OECD yang mana kita ada 32 kriteria dan dalam masa yang sama, kita mahu meningkatkan jumlah pelancong yang masuk ke sini.

“Jika tahun lepas 2017, sebanyak 16.75 juta pelancong datang ke Melaka.Tahun ini, kita menyasarkan jumlah pelancong naik kepada 16.8 juta orang,” katanya kepada wartawan Utusan Online usai majlis sidang akhbar yang diadakan bagi menguar-uarkan tentang pelbagai aktiviti yang telah diatur sepanjang seminggu, sambutan ulang tahun Melaka Bandaraya Bersejarah.

Program yang dianjurkan secara bersama di antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dengan DMACRIZ Communication, kata Zainal, pastinya tertumpu kepada malam kemuncak, Malam Inspirasi Cinta Ilmu.

Bertempat di Dataran Bandaran Melaka, orang ramai digalakkan hadir untuk sama-sama bersolat Maghrib dan Isyak sebelum bermulanya persembahan hiburan.

Tambah Zainal, negeri Melaka yang terkenal sebagai negeri teknologi hijau merancang untuk terus meningkatkan pembangunan hijau dan menurunkan karbon yang mana, buat masa kini, penurunan karbon berjaya dilakukan pada kadar 4 peratus.

“Sudah pastinya kita mempunyai perancangan atau strategi untuk menentukan bahawa Melaka terus mampan selain daripada meningkatkan ingtegriti dan jati diri rakyat negeri ini,” katanya.

Adalah menjadi hasrat Zainal untuk melihat Melaka menjadi sebuah negeri yang menjadi tumpuan dan contoh terbaik pada masa akan datang yang mana rakyat negeri ini dipupuk dengan jati diri bersih dan jujur. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons