April 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus



Kenyataan terbaharu Setiausaha PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkenaan keengganan DAP menggunakan logo lain selain ‘Roket’ mengesahkan parti itu merupakan penghalang utama terhadap idea Pakatan Harapan (PH) menggunakan satu logo bagi menghadapi PRU 14.

Ia juga turut mengesahkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak dapat meluluskan pendaftaran PH sebagai satu parti rasmi yang meggunakan satu logo adalah tepat.

Saifuddin Nasution semasa berucap di salah satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam DUN Taboh Naning, Parlimen Masjid Tanah Melaka semalam mendedahkan ketiga-tiga parti kompenan PH iaitu, PKR, PPBM dan Amanah bersetuju untuk menggunakan logo Keadilan sebagai satu logo dalam menghadapi PRU 14.

Bagaimanapun langkah itu kurang dipersetujui DAP kerana bimbang akan mengelirukan pengundi Cina yang selama ini hanya mengenali logo Roket ketika mengundi.

Ini bermaksud, apa-apa logo sama ada ada yang lama atau baharu selain daripada Roket akan memberi kesan negatif pengundi Cina terhadap DAP.

“Hari Selasa (esok) nanti akan ada dua kemungkinan, pertama pengumuman tiga parti (PKR, Amanah dan PPBM) bersetuju mengguna satu logo (PKR) dan dikecualikan DAP kerana alasan-alasan yang tertentu.

“Atau, kalau esok malam (Isnin) keputusan CEC pusat (DAP) bersetuju maka hari Selasa, pengumuman itu akan sebut empat parti menggunakan satu (logo),”kata Saifuddin.

Selanjutnya, sila baca “PRU 14 : Kecuali DAP, Tiga Parti PH Setuju Guna Logo PKR – Saifuddin Nasution

Pendedahan Saifuddin Nasution itu bukan perkara baharu kerana perkara sama pernah didedahkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim sejak dua tahun lepas.

Tunku Abdul Aziz berkata logo Roket merupakan simbol kekuatan DAP terhadap komuniti pengundi Cina, jika menggunakan logo lain, parti itu berisiko kehilangan sebahagian undi daripada kaum tersebut.

“Saya rasa DAP memang tidak bersetuju kerana DAP sudah mempunyai identitinya. Orang Cina yang menyokong parti itu, kalau diletak logo baru, saya rasa mereka tak boleh terima kerana sokongan mereka kepada DAP.

“Tapi bila bercampur, saya rasa barangkali sokongan itu hilang,” kata Tunku Aziz.

Tambahnya, tujuan utama DAP menyertai mana-mana gabungan pembangkang adalah untuk mendapat undi tambahan daripada komuniti masyarakat Melayu-Islam.

“Kita tahu DAP punyai agenda, jadi bila bekerjasama dengan PAS (menerusi Pakatan Rakyat sebelum ini), dengan PKR, (adalah) untuk mendapatkan undi Melayu.

“Bagaimana nak bekerjasama kerana lain parti, lain agenda,” katanya lagi.

Pada 23 Mac lalu, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata pendaftaran PH sebagai satu parti tidak dapat diproses berpunca daripada PPBM satu daripada parti komponen yang menyertai pakatan itu, belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen sepertimana dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

“Dengan ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan bahawa pendaftaran Pakatan Harapan buat masa ini masih tidak dapat diproses,” katanya dalam kenyataan.

Pada 9 Mac lepas, RoS dilaporkan mengeluarkan satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 kepada PPBM yang mengkehendaki parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen kepada jabatan berkenaan.

Notis 14 (2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh RoS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.

PH menghantar permohonan pendaftaran pada Julai tahun lepas.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons