April 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus


PETALING
JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, memutuskan untuk
keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas kecewa dengan konflik
dalaman parti itu.

Beliau yang digantung keahlian sejak Ogos 2017 berkata, sudah cukup
baginya untuk berada dalam parti itu selama 18 tahun kerana dakwanya,
ada pihak dalaman termasuk barisan kepimpinan yang bertindak melancarkan
‘serangan peribadi’ terhadapnya.

“Banyak pihak yang mencemburui, dengki dan tidak puas hati dengan
saya…macam-macam mereka lakukan bagi menjatuhkan imej saya dalam parti.

“Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk keluar parti dan
menyertai parti lain kerana saya memerlukan platform untuk berkhidmat
kepada rakyat,” katanya dalam temuramah bersama mStar Online.

Manikavasagam berkata, susulan keputusannya itu, beliau akan
menyertai sebuah parti pembangkang lain dan pengumuman itu akan dibuat
Sabtu ini.

Jelasnya lagi, keyakinannya terhadap PKR ketika ini hanyalah kerana
Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali.

“Jika bukan Anwar, Azmin layak sebagai calon perdana menteri
berbanding pihak lain sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya
umum ke-14 (PRU-14),” katanya yang pernah memikul tanggungjawab selaku
Ketua Cabang PKR Kuala Selangor yang ketika itu mempunyai 45 Ranting
sebelum keahliannya digantung.

Pada Ogos tahun lalu, PKR menggantung keahlian Manikavasagam selama
dua tahun berikutan satu ucapan yang dibuatnya di Kuil Sri
Balathandayuthapani, Kapar pada 8 April tahun yang sama.
 
Manikavasagam mendakwa yang dia telah membuat rayuan berserta
penjelasan dalam tempoh 14 hari selepas penggantungan itu, tetapi
statusnya sehingga kini masih menjadi tanda-tanya.

Malahan, jika penggantungan itu ditarik balik dalam masa terdekat
sekali pun katanya, ia sudah terlambat kerana sudah membuat keputusan
untuk meneruskan agenda politiknya.

“Saya ikhlas berjuang dan berkhidmat untuk rakyat pelbagai kaum seperti menangani masalah dan kawasan setempat,” katanya.

Mengenai PRU14, Manikavasagam menegaskan tindakannya keluar parti
bukan disebabkan mahu bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Bagaimanapun beliau tidak menolak sekiranya diberi peluang oleh parti
baharu untuk bertanding, termasuk di kawasan Parlimen Kapar.

“Terpulang kepada mereka (parti baharu), kalau diberi peluang untuk
bertanding, saya terima. Kalau dapat Kapar baguslah sebab saya sudah
lama berkhidmat kepada masyarakat di sini dan sudah ada pengikut malah
bermastautin di Meru,” katanya – Mstar



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons