April 22, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 8 April – Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan manifesto Barisan Nasional (BN) semalam, jelas boleh disimpulkan akujanji yang ditawarkan itu sebagai satu tumbukan ‘TKO’ terhadap segala janji ‘manis’ Pakatan Harapan diketuai DAP. 

Ternyata berbeza antara janji BN dengan Pakatan Harapan. Satu bersifat realistik, inklusif dan mempunyai prinsip tiada seorang rakyat pun tertinggal manakala satu lagi hanyalah janji populis dan ‘asal ada’ bagi menarik undi rakyat. 

Berikut disenaraikan tujuh perbandingan utama antara manifesto mesra rakyat BN dan Pakatan Harapan diketuai DAP dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

1) Manifesto BN lebih spesifik untuk semua golongan

Apabila Najib mengatakan manifesto BN mengutamakan semua golongan berpaksikan prinsip tiada seorang rakyat pun tertinggal, Pengerusi BN itu benar-benar berhasrat mengotakannya. Antaranya, wanita diberi perhatian khusus termasuk mahu menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) bagi memperkasa agenda ekonomi dan banyak lagi inisiatif khas bukan sahaja kepada golongan itu tetapi juga kepada anak muda dan kanak-kanak. 

Hal ini benar-benar berbeza dengan janji Pakatan Harapan diketuai DAP. Gabungan itu hanya menyentuh mengenai isu wanita dan anak muda di penghujung manifesto seolah-olah menidakkan golongan tersebut. Malah, inisiatif yang dijanjikan juga tidak begitu menyerlah, mengambil contoh janji kepada golongan wanita, Pakatan Harapan hanya menyentuh secara ‘permukaan’ dan sekadar ‘janji semata-mata’.

2) BN mengutamakan seluruh negara, tiada negeri terpinggir

Selain daripada akujanji secara umum, BN juga berjanji untuk tidak meminggirkan setiap negeri dari Perlis hingga ke Sabah. Setiap seorang rakyat di semua negeri bakal mendapat manfaat. Antaranya, BN berjanji untuk menubuhkan Zon Ekonomi Khas di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan menjadikan projek Malaysian Vision Valley di Negeri Sembilan sebagai projek ikonik negara. 

Perkara ini bolehlah disifatkan sebagai ‘checkmate’ kepada manifesto populis Pakatan Harapan kerana mereka hanya berjanji secara umum, jika melibatkan negeri pun cuma janji kepada Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963). 

3) Janji BN lebih tersusun, mengikut tempoh masa ditetapkan

Jika dilihat secara mendalam, manifesto BN lebih tersusun, dihuraikan satu persatu oleh Najib dengan jelas. Malah kebanyakan janji tersebut dinyatakan tempoh masa untuk disiapkan seperti peningkatan gaji minimum secara berperingkat dan mewujudkan 10,000 perusahaan kecil dan sederhana menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dalam tempoh lima tahun. 

Sungguh berbeza dengan janji ‘manis’ Pakatan Harapan yang dilihat agak cacamarba dengan kebanyakan janji tidak dinyatakan tempoh masa untuk disiapkan melainkan 10 janji 100 hari yang telah pun diakui Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa sukar untuk dilaksanakan. 

4) Manifesto BN bersifat inklusif, Pakatan Harapan populis

BN di bawah kepemimpinan Najib kali ini menampilkan janji menyeluruh dan lebih faham tentang kepentingan bagi mengatasi kos sara hidup rakyat termasuk mahu menubuhkan sebuah bank khas bagi menguruskan pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah. 

Berbanding BN, Pakatan Harapan menawarkan janji bulan dan bintang yang tidak mampu dilaksanakan, malah boleh bawa negara ke arah kegelapan termasuk mahu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekali gus ‘menghilangkan’ pendapatan negara sehingga RM20 bilion. 

5) Janji BN kepada Sabah dan Sarawak lebih jelas

Kedua-dua parti menawarkan janji ini, namun akujanji BN terhadap Sabah dan Sarawak dilihat jelas dan telus. Paling utama apabila melibatkan MA1963, BN sudah mempunyai janji yang dinyatakan secara terang bahawa hak Sabah dan Sarawak menerusi MA1963 akan direalisasikan secara konsensus. 

Hal ini sangat berbeza dengan Pakatan Harapan diketuai DAP kerana mereka hanya berjanji menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan MA1963. Baru hendak semak, belum dapat laksanakan. 

6) Bantuan kepada rakyat lebih terus dan telus, Pakatan Harapan seolah-olah menyembunyikan bantuan

Sebagai kerajaan yang prihatin, BN memperuntukkan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Untuk manifesto ini, Najib mengumumkan bantuan secara terperinci menerusi angka-angka tepat kepada rakyat termasuk pemberian untuk kategori baharu dan bantuan sekali bayar kepada anak-anak penerima BR1M yang bakal mendapat RM1,500 apabila melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. 

Sebelum ini, Pakatan Harapan sering ‘memperlekehkan’ BR1M yang dianggap sebagai ‘dedak’. Namun, mereka menyelitkan juga BR1M dalam manifesto sehingga mahu menubuhkan agensi khas mengambil alih pengurusan BR1M tetapi tidak dinyatakan pula nilai yang mahu diberi. 

7) BN janji wujud tiga juta peluang pekerjaan, Pakatan Harapan hanya sejuta

Golongan muda terutamanya graduan lepasan ijazah sememangnya teruja dengan janji yang ditawarkan BN apabila mengatakan akan mewujudkan sehingga tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun pentadbiran termasuk 1.3 juta di Malaysian Vision Valley. 

Pakatan Harapan pula yang tidak mahu ketinggalan cuma ‘mampu’ menawarkan sejuta peluang pekerjaan kepada golongan muda, itu pun tidak dinyatakan secara khusus di mana dan bagaimana mereka mahu mencipta peluang tersebut. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons