April 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 8 April – Penghibur wanita yang bernama Sahara Yacob daripada persepktif peribadi wartawan Utusan Online, Hasnurul Mohamed, merupakan seorang insan seni yang polos, telus, jujur dan disulami dengan semangat anak seni yang kuat lagi menebal dalam hati, diri dan sanubarinya.

Walaupun ramai yang mengutuk, menghina, mencerca dan mengata diri wanita bernama Sahara Yacob ini namun perjalanan seninya yang berpuluh dekad, jatuh dan bangunnya, pernah melalui zaman kegemilangan dan suram, hanya dirinya sahaja yang merasai.

Jatuhnya Sahara Yacob tiada siapa yang peduli. Kecuali orang tertentu dan segelintir kecil rakan artis yang berusaha untuk membina semula kehidupan wanita yang diberi jolokan sebagai Tina Turner Malaysia.

Kelaziman yang sepatutnya dikikis dalam diri kita, apabila seseorang itu jatuh, ramai yang bersorak dan bertepuk tangan.

Untuk menghulurkan tangan atau memimpin insan yang jatuh, agak susah untuk diperoleh apatah lagi, dalam era digital tanpa sempadan, ramai wira papan kekunci yang berlagak seolah-olah merekalah daripada kalangan media, menulis secara sembrono tanpa mempelajari etika dalam penulisan dan Sahara sendiri pernah dijadikan mangsa kezaliman sesama insan.

Kelmarin, penghibur tanah air yang berusia 62 tahun ini menunjukkan bahawa beliau masih mampu untuk menghiburkan peminat di atas pentas kerana apa yang dibuktikannya itu adalah bagi mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh penghiburan wanita tertaraf superstar, Anita Sarawak.

Tidak perlu untuk membandingkan persembahan atas pentas di antara kedua insan seni yang mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri kerana Sahara Yacob telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang penghibur bertaraf antarabangsa.

Memulakan persembahan dengan lagu Inggeris berjudul I Will Survive yang dipopularkan oleh Gloria Gaynor, Sahara membawa hadirin yang memenuhi ruang tempat duduk dalam WoW KL, melalui kisah kehidupannya.

Apa yang dirasai di dalam hati Sahara, apa yang dipendamkan selama berpuluh tahun lamanya walaupun cuba diceritakannya namun tiada siapapun yang akan memahami, dikiaskan oleh Sahara menerusi lagu-lagu yang dipersembahkannya.



DODI

DODI MOHAMMAD

Gelombang hati Sahara terus dipancarkan dengan lagu berjudul Hot Stuf yang dipopularkan oleh penyanyi bernama Donna Summer, If You Go Away versi Shirley Bessey, My Funny Valentine, sebuah lagu lama yang dirakamkan oleh Frank Sinatra pada tahun 1953, Don’t Cry For Me Argentina versi Patti LuPone, Proud Mary lagu popular Tina Turner dan banyak lagi yang apabila tiba di penghujung persembahan, rupa-rupanya Sahara menyampaikan 11 buah lagu tanpa henti.

Bukan mahu memuji Sahara secara buta tuli tetapi bagi seorang insan berjiwa seni berusia melebihi 60 tahun, beliau mampu menyanyi dan menghiburkan hadirin termasuk penghibur tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk DJ Dave, Datuk Nash, Freddie Fernandez, Fauziah Latiff, Zaiton Sameon dan Nancie Foo.

Dalam kalangan mereka yang hadir menyaksikan showcase Sahara Yacob I Am Back, ada yang lahir sebagai penyanyi tanah air bukan dalam era yang sama dengan Sahara tetapi kehadiran artis pada malam itu, amat bermakna pada diri Sahara kerana itulah tanda sokongan kepada Sahara Yacob.

Maka itulah, apabila menyasikan showcase impian Sahara yang akhirnya dapat direalisasikan malam kelmarin, pelbagai perasaan yang membuai rasa, turut dirasai oleh hadirin.

Selayaknya Sahara Yacob yang digelar sebagai Tina Turner Malaysia, adalah penghibur wanita tanah air yang harus diberikan sokongan bukan sahaja oleh rakan-rakan artis, anak-anak seni, peminat tegar tetapi juga penggemar muzik tanpa sempadan.

Tanpa Sahara sendiri sedar, beliau membawa penonton melalui satu terowong kehidupan, merasai suasana broadway, era 1970-an, rancak dan sedih. Semuanya ada dalam showcase Sahara Yacob I am Back.

Sepanjang persembahan, Sahara diiringi oleh barisan pemuzik dan seorang penyanyi latar di bawah pimpinan cucu Tony Sulioano, Junior manakala anak didik Sahara, Dodi Mohammad. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons