April 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Isu skandal tanah di mukim Ijok telah menimbulkan pelbagai misteri. Paling ketara munculnya istilah runding tepi.

AIDC menemuai ADUN Dengkil, YB Shahrum Mohd Sharif untuk memahami dan merungkai isu tersebut.

Ikutilah wawancara AIDC bersama YB Shahrum berkaitan dengan isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

AIDC : Difahamkan Isu Ijok turut dibangkitkan dalam sidang DUN Selangor minggu lepas ? Boleh YB ulas lanjut.

YB Shahrum : Assalamualaikum w.b..t, saya ingin
mengulas semula apa yang berlaku semasa sidang dewan baru-baru ini di
mana dalam perbahasan titah ucapan tuanku itu hanya dibenarkan seorang
sahaja wakil parti untuk berucap dan berbahas.

Kebetulan pada ketika itu banyak isu-isu yang kita nak bangkitkan
untuk dijawab oleh kerajaan negeri, namun hanya seorang sahaja wakil
daripada UMNO, BN iaitu Y.B. Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak,
itupun diberikan tempoh 20 minit untuk sahaja.

Dalam sidang DUN tempoh 3 hari, termasuklah ucapan titah tuanku pada
hari Isnin, 2 hari untuk perbahasan, kita mendengar Yang Amat Berhormat
Menteri Besar mengulas isu Ijok dan cuba menerangkan hujah-hujah di
sebelah pihak semata-mata.

Dengan kata lain, ‘he is trying to explain his side of the story’,
padahal kita sendiri tidak dibenarkan untuk berbahas, disebabkan
kekangan masa.

Jadi, pada masa proses penggulungan YAB Menteri Besar, beliau berkata
isu Ijok sudah lama, bermula sejak dari zaman BN, iaitu pada zaman Tan
Sri Abu Hassan Omar pada tahun 2000.

Ketika itu, tanah milik peneroka di bawah Perbadanan Kemajuan
Pertanian Selangor (PKPS) telah membuat tawaran yang disetujui peneroka,
bahawa tanah itu akan dimajukan oleh dua syarikat.

Peneroka akan mendapat sejumlah pampasan berbentuk wang dan
berbentuk nilai sebuah rumah disediakan, RM180 000 duit tunai dan RM180
00 harga nilai rumah.

Tanah ini dianugerahkan kepada dua syarikat , Mujur Zaman Sdn Bhd dan
LBCN Development Sdn Bhd, namun kedua-dua syarikat itu tidak dapat
deliver.

Pada tahun 2005, semasa zaman BN lagi, beberapa tindakan sudah
diambil membawa perkara ini ke mahkamah, untuk memastikan dua syarikat
ini, mengotakan janji sebagaimana di dalam perjanjian mereka dengan
peneroka.

Pada tahun 2008, kerajaan negeri bertukar tangan. Menteri Besar
Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga ADUN Ijok,
meneruskan langkah yang pernah dibuat oleh BN iaitu membawa kes ini ke
mahkamah.

Adakah YB sempat bertanya soalan kepada Menteri Besar berkaitan isu Ijok ini ?

Ya. Misalnya saya tanya, mengapa proses mahkamah dihentikan padahal
sudah sampai ke tahap sudah menang di peringkat mahkamah tinggi dan
mahkamah rayuan dan sudah semestinya kerajaan negeri mempunyai peluang
yang cukup besar untuk menang di peringkat mahkamah persekutuan.

Saya juga tanya mengapa tanah yang bernilai, RM1.18 bilion, tanah
yang dikatakan milik kedua-dua syarikat itu yang diperuntukkan kepada
taman, lebih kurang 1000 ekar yang dipanggil Alam Perdana, mengapa ia
telah dijual kepada syarikat berwibawa, pada harga di bawah pasaran,
iaitu lebih kurang RM12/kaki per segi.

Kalau diukur panjang, RM1.18 bilion, untuk tanah seluas 1000 ekar,
Alam Perdana itu, ianya jatuh kepada RM12 sekaki persegi, padahal nilai
tanah di kawasan berkenaan sudah mencecah 35-60 Ringgit kaki per segi.
Kenapa dijual di bawah harga pasaran.

Sepatutnya kerajaan negeri mengamalkan tender terbuka, seperti mana yang dilaung-laungkan selama ini.

Adakah YAB Menteri Besar menjawab pertanyaan itu ?

Beliau menjawab tetapi dengan nada sinis. Beliau kata, soalan saya itu akan ditertawakan oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Beliau memberi alasan tanah itu tidak boleh dijual secara tender
terbuka kerana hanya satu alam sahaja yang dimiliki oleh kerajaan
negeri, sedangkan dua alam lagi bukan milik kerajaan negeri.
Alasan yang saya kira seolah-olah mahu menepis segala permasalahan yang ada.

Selaku Yang Amat Berhormat Menteri Besar, beliau sudah tentu arif tentang pengurusan hal ehwal tanah.

Walaupun saya baru berkhidmat 5 tahun sebagai wakil rakyat tetapi
saya sedikit sebanyak tahu bahawa urusan yang berkaitan dengan tanah
merupakan urusan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri yang mempunyai hak sepenuhnya ke atas tanah-tanah
yang ada di dalam Negeri Selangor di bawah akta kanun tanah negara ini
seperti mana yang telah dilakukan oleh Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Apabila dua syarikat ini tidak perform, memungkiri janji kepada
peneroka, projek perumahan itu dikategorikan sebagai perumahan
terbengkalai sedangkan ramai pembeli-pembeli sudah pun mendapat pinjaman
daripada bank, dan terpaksa membayar pinjaman kepada bank, maka Tan
Seri Abdul Khalid telah merampas tanah 1000 ekar yang diperuntukkan
untuk Alam Perdana.

Rampasan adalah bahasa akta kanun tanah. Kalau bahasa lembut ia
dipanggail pengambil alihan. Kerajaan negeri berhak merampas balik
tanah-tanah yang dimilik oleh pihak-pihak yang tertentu, dengan cara
pampasan, membayar semula dan sebagainya.

YAB Menteri Besar kata, kita tak paham tentang isu ini. Dia kata
tanah itu ada tiga Alam iaitu Alam Utama, Alam Perdana dan Alam Mutiara.

Jadi apabila Tan Seri Abdul Khalid mahu merampas dua lagi tanah,
Alam Utama dan Alam Mutiara, ketika proses itu sedang berjalan, namun
pada 2016, ia telah ditarik balik oleh kerajaan negeri yang dipimpin
Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Maksudnya, Tan Seri Abdul Khalid sahaja telah merampas tanah di Alam
Perdana, tetapi beliau juga berusaha untuk merampas Alam Utama dan Alam
Mutiara, cuma kes kedua-dua Alam itu tidak masuk mahkamah kerana telah
ditarik balik oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.

Satu kes (Alam Perdana) sudah masuk mahkamah, sudah menang di
peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan tetapi apabila di
peringkat mahkamah persekutuan, Menteri Besar Azmin Ali telah menarik
balik kes dengan perjanjian secara runding tepi.

Maknanya Azmin mahu selesaikan di peringkat luar mahkamah.

Satu perkara lagi, Tan Seri Abdul Khalid menangguhkan rampasan
terhadap Alam Utama dan Alam Mutiara kerana kedua-dua tanah itu masih
lagi belum dibangunkan oleh syarikat.

Tetapi Tan Seri Abdul Khalid telah bawa kes Alam Perdana ke mahkamah
sebab sudah ada pembeli, sedikit sebanyak kemudahan asas, infrastruktur,
telah dibuat oleh syarikat untuk membangunkan Alam Perdana itu.

Jadi, pelbagai pertanyaan boleh kita lontarkan semula kepada kerajaan
negeri, khususnya YAB Menteri Besar, kerana kalau dikira dari segi
‘Legal precedent’ (kes terdahulu) untuk Alam Perdana, yang telah menang
di peringkat mahkamah tinggi dan rayuan dan insya allah akan menang di
peringkat mahkamah persekutuan, maka kes Alam Utama dan Alam Mutiara
juga akan menyusul sekiranya apa yang dirancangkan oleh Tan Seri Abdul
Khalid pada ketika itu berjaya.

Jika berjaya, kesemua tiga-tiga alam ini bakal menjadi milik kerajaan
negeri semula, maknanya 3200 ekar bakal menjadi milik kerajaan negeri.
Apabila kerajaan negeri dapat balik tanah-tanah ini, maka sudah tentu
nilaiannya bukannya 12 Ringgit kaki per segi, jika kerajaan negeri boleh
buat tender terbuka, saya kira boleh mencapai 35 Ringgit kaki persegi.

Kalau 3000 ekar pembangunan ia menghasilkan pendapatan melebihi 9
atau 10 bilion, dan mungkin lebih lagi. Kalau itu berlaku maknanya kita
sudah menyelamatkan harta kerajaan negeri, dan boleh memulangkan semula
hak untuk peneroka, dan mungkin bukan lagi pada nilaian yang sama pada
tahun 2000.

YB ada sebut tadi berkenaan runding tepi. Ada dakwaan
mengatakan runding tepi itu bersyarat dengan diuruskan oleh satu
syarikat guaman tertentu. Adakah perkara ini benar?

Saya pun difahamkan perkara yang sama. Saya rasa syarikat guaman itu
disebut sebagai Daim and Gamany yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen PKR
Subang, Sivarasa Rasiah.

Tetapi apa yang saya nak bangkitkan di sini, mengapa terdapat
percanggahan keterangan di antara syarikat dengan Menteri Besar
Selangor.

Peguam Sivarasa begitahu, kalau kerajaan negeri merampas ketiga-tiga
Alam tadi, jumlah yang kena bayar kepada dua syarikat, Mujur Zaman dan
LBCN ialah sebanyak 2.7 bilion.

Alam Perdana sahaja dia kata kena bayar 860 juta sebab kena bayar
ikut nilaian komersial dan bayar balik kos infrastruktur yang telah
dibuat oleh syarikat tersebut.

Tetapi dalam nota penjelasan kepada wartawan, Menteri Besar
menyatakan, kalau kerajaan negeri ambil balik tanah ini, kerajaan
negeri kena bayar pampasan kepada syarikat sebanyak 4.4 bilion.

Jadi, yang mana satu yang betul, yang peguam Sivarasa beritahu iaitu
2.7 bilion kah ataupun yang Menteri Besar maklumkan iaitu 4.4 bilion.

Persoalannya jika dua syarikat itu tahu bahawa mereka boleh mendapat
pampasan sebanyak 4.4 bilion jika ketiga-tiga alam itu dirampas, mengapa
pula mereka bersetuju dengan rundingan hanya berharga 1.18 bilion?

Dari segi logik, lebih baik kedua syarikat itu menunggu tanah mereka dirampas untuk membolehkan mereka lawan di mahkamah.

Jadi, pada saya, ini adalah momokan yang sengaja dibuat oleh kerajaan
negeri, nilaian pun bercanggah, 2.7 billion dengan 4.4 bilion.

Hakikatnya, Tan Seri Abdul Khalid telah mengambil Alam Perdana dengan membayar pampasan sebanyak RM160 juta.

Harga pampasan itu dianggap munasabah untuk syarikat berkenaan kerana
syarikat itu belum lagi membayar premium dan juga cukai penukaran
status.

Ini berbeza dengan apa yang diterangkan oleh Menteri Besar di dalam
sidang DUN, di mana Menteri Besar berkata kerajaan negeri kena bayar 700
juta untuk infrastruktur dan kena bayar mengikut nilai komersial
padahal kerajaan negeri mempunyai alasan yang kukuh untuk lawan di
mahkam bahawa syarikat itu masih lagi belum membayar premium.

Oleh kerana syarikat itu belum lagi membayar premium maka pampasan yang dikenakan perlulah mengikut nilai pertanian.

Saya sebutkan tadi, bila bertukar Menteri Besar, akhirnya cara
penyelesaian bertukar, tetapi yang rugi adalah kerajaan negeri dan
rakyat Selangor sendiri.

Kalau saya kira, jika diteruskan dengan urusan mahkamah untuk
ketiga-tiga Alam ini, saya yakin 3200 ekar ini boleh menjadi milik
kerajaan negeri boleh menjadi milik rakyat negeri Selangor. Tetapi
perkara ini tidak dilakukan.

Menteri Besar kata kerajaan negeri tidak perlu membayar satu sen pun untuk runding tepi tetapi telah mendapat 1000 ekar.

Saya nak jelaskan di sini, konsep runding tepi sepatutnya kerajaan negeri mendapat 3200 ekar dan bukannya hanya 1000 ekar.

Pampasan ataupun risiko daripada runding tepi ini adalah 2200 ekar
terpaksa diserahkan kepada pemaju wibawa dengan nilaian yang rendah.

Jadi tidak benar jika Menteri Besar beritahu tidak ada satu sen pun
keluar daripada kantung kerajaan negeri untuk membayar pampasan kepada
dua syarikat itu, tetapi saya nyatakan di sini kerajaan negeri telah
hilang 2200 ekar daripada 3200 ekar yang sepatutnya diperolehi.

Hanya dapat 1000 ekar yang telah pun dimiliki sebelum ini pada zaman
Tan Seri Abdul Khalid, tetapi 2200 ekar telah masuk ke kantung
kontraktor ataupun pemaju wibawa dan ini yang saya sebutkan tadi bahawa
soal runding tepi ini sebenarnya merugikan rakyat dan merugikan Negeri
Selangor.

Maksudnya, konsep runding tepi itu seolah-olah kerajaan negeri berpihak kepada syarikat pemaju dan bukannya kepada peneroka ?

Itulah, di dalam dewan, Menteri Besar begitu bersungguh-sungguh
mengatakan bahawa inilah penyelesaian global, beliau tidak mengutamakan
pemaju malah beliau memberikan sepenuh keutamaan kepada peneroka.

Tetapi pada hakikatnya bila kita lihat soal runding tepi, kita dapat
melihat dua pemaju yang sudah gagal 18 tahun ini diberikan semula nafas
baru oleh kerajaan negeri.

Maknanya dengan menjual 1.18 bilion dan 360 juta diberikan kepada
peneroka, mana pergi yang bakinya dan sekarang ia telah menjadi kes
SPRM.

Saya rasa pemaju-pemaju yang terlibat, LBCN dan Mujur Zaman juga
akhirnya mendapat durian runtuh walaupun mereka gagal selama tempoh 18
tahun.

Sepatutnya ia dihukum dengan membawa mereka ini ke mahkamah, tetapi
disebabkan kerajaan negeri, YAB Menteri Besar Dato Seri Azmin Ali
memikirkan juga nasib syarikat-syarikat berkenaan, akhirnya terpaksa
tunduk kepada mereka.

Jadi saya harap bukan peneroka sahaja yang diberikan keutamaan, kalau
nak selesaikan masalah peneroka, 18 tahun mereka dah tunggu, kalau nak
selesaikan cepat, kerajaan negeri boleh gunakan dulu reserve daripada
duit kerajaan negeri sendiri yang berjumlah 4 bilion. Itupun kalau nak
selesai cepat.

Tetapi dalam hal ini, kerajaan negeri mahu menyelamatkan dua syarikat
berkenaan, tetapi menggunakan alasan bahawa peneroka sudah menunggu
lama, nak bayar peneroka itu secepat yang boleh.

Dalam sidang dewan baru-baru ini kelihatan Azmin membawa
peta, dan ‘menikam-nikam’ peta tersebut, adakah tindakan itu merungkai
kes Ijok ?

 
Berkenaan dengan isu peta ini, seolah-olah Yang Amat Berhormat
Menteri Besar, cuba meyakinkan kami di dewan dan juga masyarakat di luar
sana.

Seolah-olah nak memberi syarahan atau dalam bahasa lainnya, nak
menyekolahkan kami ADUN-ADUN BN dan pihak yang membangkitkan isu Ijok
tersebut.

Padahal apa yang kita tahu adalah sebaliknya. Menteri Besar boleh
menerangkan hujah-hujah tetapi banyak persoalan-persoalan yang belum
dijawab termasuklah persoalan-persoalan; mengapa dijual di bawah harga
pasaran, mengapa tidak meneruskan lagi tindakan mahkamah kepada dua Alam
dan mengapa tidak dibuka tender terbuka untuk pemaju wibawa yang
dipilih.

Walaupun Dato Menteri Besar cuba menerangkan dengan emosi tetapi lebih banyak persoalan yang timbul.

Pembentangan dan syarahan daripada Menteri Besar itu sendiri, menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Khabarnya orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad adalah dalang di
sebalik dua syarikat pemaju itu. Adakah faktor ini menyebabkan Menteri
Besar mengambil keputusan yang berpihak kepada kedua syarikat berkenaan ?

Itu saya nak lontarkan semula kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar.

Kita sedia maklum di belakang syarikat ini ialah Datuk Khairuddin Abu
Hassan yang pada ketika dulu merupakan orang kuat penyokong tegar UMNO
dan BN.

Pada masa beliau dikurniakan tanah ini kerajaan negeri ditadbir BN
dengan mengambil kira segala pengorbanan beliau, segala jasa yang telah
dicurahkan untuk membantu rakyat khususnya di Selangor dan mengambil
kira beliau mungkin mempunyai kapasiti untuk membina projek perumahan di
Ijok.

Namun, akhirnya ia tidak menjadi kenyataan dan berita ini timbul
semula selepas YAB Menteri Besar Datuk Seri Azmin mengambil alih tampuk
pentadbiran Negeri Selangor.

Kebetulan pula kita lihat seperti Datuk Khairuddin bersama-sama
dengan Datuk Seri Azmi yang bertanggungjawab membawa Tun Dr Mahathir
Mohamad ke dalam Pakatan Harapan. Ini persepsi yang orang ramai nampak.

Persepsi itu masih meluas dan turut dikaitkan dengan perjanjian runding tepi dalam isu tanah Ijok.

Ini persepsi yang sedang berlegar yang perlu dinafikan kerajaan
negeri. Persepsi rakyat mengatakan kerajaan negeri mahu menyelamatkan
kroni-kroni mereka, yang dulu bukan dianggap kroni tetapi musuh.

Sekarang ini musuh sudah dianggap sebagai kroni, sudah dianggap
sebagai sahabat rapat, lebih-lebih lagi bila pada masa menghadapi
pilihan raya.

Saya tak tuduh tetapi persepsi orang ramai kata bahawa kerajaan
negeri sekarang ini cuba untuk mengkayakan kroni-kroni mereka dan cuba
untuk mencari dana untuk menghadapi pilihan raya.

Ini persepsi orang ramai. Ini bukan tuduhan saya. Jadi saya minta
Menteri Besar jawablah isu ini.

Apa peranan Datuk Khairudin ? Apa
peranan Sivarasa?. Apa peranan firma guaman Daim and Gamany dalam isu
ini.

Semua isu ini harus diperjelaskan kerana ia tidak dijelaskan di dalam sidang dewan baru-baru ini.

Ada Menteri Besar Selangor sebut, beliau kata UMNO mempergunakan SPRM untuk menjatuhkannya dalam isu Ijok. Apa pandangan YB ?
 
Menteri Besar ada memaklumkan di dalam dewan bahawa UMNO menggunakan
SPRM untuk menjatuhkan beliau dalam isu Ijok ini, tetapi pada hakikatnya
SPRM menjalankan tugas di bawah bidang kuasa yang diberikan.

SPRM di bawah Yang di-Pertuan Agung, mengapa pula dikaitkan dengan UMNO.

Yang membuat laporan awal tentang isu Ijok bukannya dari kalangan
orang UMNO, tetapi dari kalangan bekas aktivis PKR sendiri, CheguBard.

Beliau, yakni CheguBard adalah individu paling awal membuat laporan kepada SPRM, kemudian diikuti dengan NGO-NGO lain.

Mengapa Menteri Besar mengaitkan dengan UMNO padahal SPRM menjalankan
tugas mereka berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima daripada
pengadu-pengadu yang kebanyakannya bukan terdiri daripada kalangan orang
UMNO.

Sebenarnya tuduhan seperti itu tidak patut keluar daripada mulut seorang Menteri Besar.
 
Saya cukup yakin dengan konsep ‘you are considered innocent unless
proven guilty’ dan kita juga yakin dengan konsep ‘may the truth
prevail’.

Jangan risau, jika tidak bersalah, ‘there’s nothing to hide. So, let the court’ membuktikan sama ada bersalah ataupun tidak .

Sebagai penutup, ada apa-apa pesanan terakhir daripada YB ?

Okay, alhamdulillah. Kita sebenarnya sudah hendak sampai ke D-Day. Bila-bila masa sahaja PRU14 ini akan berlansung.

Suka saya nak mengingatkan di sini, selama 5 tahun kita sudah memainkan perananan sebagai check and balance, semak dan imbang apabila kita lihat banyak kelemahan-kelemahan yang dilakukan kerajaan negeri.

Jika kita diberi mandat oleh rakyat untuk mengambil balik kerajaan
negeri, kita akan buat dengan lebih baik, kita akan baiki segala
kelemahan-kelemahan, yang baik kita akan tambah menjadi lebih baik.

Umpamanya, dalam isu berkenaan belia dan sukan, hari ini tiada lagi
jalan penyelesaian dengan Red Giant, pasukan bola sepak Selangor.

Red Giant itu adalah ikon peminat bola sepak Selangor tetapi tidak dibenarkan untuk bermain di stadium Shah Alam.

Seperti yang telah dimaklumkan oleh Tan Seri Noh Omar, bila BN
menang di Selangor, Red Giant akan diberikan hak di stadium Shah Alam.

Kerajaan negeri menyalahkan kerajaan persekutuan kerana tidak dapat
menangani masalah kos sara hidup yang tinggi di kalangan rakyat, tetapi
dalam masa sama, kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa untuk menangani
masalah tersebut.

Misalnya membiarkan harga rumah melambung naik, kata nak beri
pendidikan percuma, tetapi tidak buat, di peringkat sekolah rendah
agama, terpaksa juga membayar buku teks dan yuran yang tinggi.
Insya Allah jika BN menang, sekolah rendah agama akan diberi pendidikan percuma dan harga rumah juga akan dikawal.

Kerajaan negeri hari ini tidak mengendahkan untuk membina rumah mampu
milik, PKNS sudah lari dari tanggungjawab, hanya 10% bina rumah mampu
milik di Selangor, selebihnya dijual pada harga bebas.

Kita juga mahu kembalikan peranan PKNS, kita nak lihat nanti kerajaan
persekutuan dan kerajaan negeri berganding bahu, bergerak seiring demi
untuk kebaikan rakyat.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons