April 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


MALAYSIAKINI

   

PRU14 l Akhirnya teka-teki
pilihan raya umum (PRU) ke-14 berakhir dengan pengumuman pembubaran
Parlimen Malaysia penggal ini oleh perdana menteri pada Sabtu 7 April
2018.

PRU ke-14 akan berlangsung beberapa minggu dari sekarang.

PAS bersama rakan politiknya dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN) kali
ini akan bersaing menghadapi BN yang diketuai oleh Umno dan Pakatan
Harapan (HARAPAN) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun
partinya iaitu BERSATU dibubarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Ia dianggap persaingan tiga penjuru paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara.

Ia sengit kerana BN yang telah memerintah negara sejak merdeka
dianggap berada dalam keadaan paling lemah apabila berlaku perpecahan
dalaman yang menyaksikan Dr Mahathir dan beberapa lagi pemimpin utama
bertindak keluar dari Umno dan membentuk parti baru, seterusnya
menyertai pakatan politik pembangkang yang pernah dimusuhinya dahulu
iaitu PKR dan DAP.

Tetapi kelemahan itu tidak pula boleh diterjemahkan sebagai satu
kekuatan kepada pakatan pembangkang kerana mereka juga turut berpecah.

Pakatan Rakyat yang pernah menggabungkan parti-parti pembangkang bagi
menghadapi BN dalam PRU ke-13 dulu telah pecah lalu membentuk dua
pakatan politik baru iaitu GAGASAN dan HARAPAN.

Siapa yang berpeluang

Secara mudahnya, BN akan mengambil peluang terbaik daripada
perpecahan blok pembangkang untuk mengekalkan kemenangan majoriti yang
akan membolehkannya membentuk kerajaan baru selepas PRU ke-14 nanti.

Pihak pembangkang pula pasti mengambil peluang daripada ‘mood’ dan
sentimen majoriti rakyat yang semakin muak dengan kelemahan dan
kegagalan BN mentadbir negara dengan adil dan berjaya.

Kehidupan rakyat yang semakin tersepit berhadapan pelbagai krisis kehidupan benar-benar akan menolak BN ke hujung usianya.

Para penganalisis politik hampir bersetuju bahawa jika blok
pembangkang berjaya mencipta persaingan dua penjuru bagi melawan BN,
mereka pasti akan tersungkur.

Tetapi malang, takdir menentukan bahawa persaingan tiga penjuru yang
lebih menguntungkan BN hampir pasti tidak dapat dielakkan dalam
persaingan sengit PRU ke-14 tidak lama lagi.

Tumpuan kepada PAS

Tumpuan adalah kepada PAS yang bertindak berani menolak untuk
bergabung dalam HARAPAN, sebaliknya membentuk blok sendiri melalui
GAGASAN yang dilihat sebagai sebuah gabungan paling kecil berbanding
tiga blok yang bersaing.

PAS mengakui keadaan tersebut telah bertindak lebih rasional dan
matang apabila mengisytiharkan matlamatnya memasuki PRU ke-14 sebagai
parti yang akan menjadi king-maker dalam menentukan pembentukan
kerajaan akan datang, seterusnya berperanan sebagai pendesak dan
pengimbang terhadap polisi dan tindakan kerajaan baru nanti.

Rakyat akan menentukan siapakah yang terbaik untuk mereka. Jika
sebelum ini dan sejak sekian lama rakyat menjawab dengan memilih dan
mengundi BN, tetapi kali adalah berbeza.

Majoriti rakyat terpaksa berhadapan pilihan lebih sukar iaitu
siapakah paling terbaik untuk menggantikan BN? GAGASAN yang diketuai PAS
atau HARAPAN yang diketuai Dr Mahathir?

Ia adalah persoalan yang agak kritikal dan memerlukan pertimbangan
yang betul dan tepat. Ia adalah soal masa depan yang akan menentukan
sama ada negara akan menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Pertimbangan-pertimbangan yang diambil kira mestilah jelas dan benar
supaya pilihan rakyat diiringi keberkatan oleh Allah, tuhan yang
memiliki kerajaan langit dan bumi dan Dialah yang mengurniakan kekuasaan
kepada sesiapa yang dimahukan-Nya.

Saya perturunkan di bawah ini beberapa pertimbangan yang harus
diambil kira oleh seluruh pengundi dan mengapakah PAS menjadi pilihan
terbaik untuk diundi.

Pertama, PAS adalah sebuah parti yang ditubuhkan
dengan alasan dan hujah syarie. Maknanya PAS ditubuhkan kerana ia
tuntutan syarak agar pemerintahan negara mestilah berlandaskan nilai dan
hukum Islam yang benar dan menyeluruh.

BN dan HARAPAN adalah sebaliknya. Ia ditubuhkan bukan dengan ukuran
syarak. Buktinya adalah jelas bahawa sikap, polisi dan tindakan yang
mereka lakukan semasa menangani isu-isu kenegaraan begitu banyak tidak
bertepatan dan menyalahi hukum syarak dan mereka tidak menghiraukannya.
Anda boleh sendiri menyaksikan PAS adalah sebaliknya.

Kedua, PAS secara konsisten menyeru kepada perpaduan
umat dan rakyat dengan Islam. PAS tegas – tiada erti perpaduan tanpa
Islam. Ia palsu dan pasti berhadapan perpecahan segera akibat persaingan
nafsu-nafsi antara pemuka-pemuka politik.

Ia adalah seruan yang jelas oleh Allah dan Rasul SAW.

Perhatikan bagaimana sikap dan tindakan PAS berkaitan hubungannya dengan pesaing politiknya sama ada BN atau HARAPAN.

Umum mengetahui betapa BN lebih lunak dengan isu-isu Islam berbanding
HARAPAN yang terumbang-ambing di antara berlunak dengan Islam atau
berlunak dengan DAP yang nyata memusuhi agenda Islam untuk negara.

Anda saksikan PAS bertindak benar dan jelas, bahawa di sebalik
persaingan politik yang sengit, kami tetap bersedia bekerjasama, bahkan
menyokong apa sahaja agenda kerajaan BN untuk kebaikan dan kemaslahatan
Islam dan rakyat.

Ia jelas dan PAS tidak pernah bersembunyi daripada meneguhkannya di
sebalik kecaman membuta tuli oleh HARAPAN yang menuduh PAS sebagai
bersekongkol dengan kezaliman BN.

Begitu juga sikap benar dan tegas PAS mengingatkan rakyat agar
berwaspada dengan ancaman terhadap Islam yang dipandang remeh oleh
HARAPAN.

Islam adalah agama peringatan. Ia tidak jemu mengingatkan manusia
dengan bahaya tipu daya duniawi yang datang untuk menyesatkan dan
mengalahkan kekuatan Islam di dalam diri dan negara.

Itulah PAS yang tidak pernah takut dengan pelbagai celaan oleh orang-orang yang mencela.

Ketiga, PAS konsisten menolak kemungkaran dan kezaliman BN dalam pemerintahannya yang merugikan negara dan menindas rakyat.

Ia adalah sayap “mencegah kemungkaran” yang beriringan dengan sayap “menyuruh kepada al-makruf” dalam konsep dakwah “al-amru bil makruf wa al-nahyu anil munkar” diajarkan oleh Islam yang sempurna.

PAS menolak salah saku dalam 1MDB yang dipenuhi kerosakan yang
dilihat memangsakan wang rakyat dan menuntut siasatan yang benar-benar
telus dan diperakui oleh rakyat.

Sikap kerajaan hari ini adalah memalukan dan dilihat takut untuk melihat kebenaran dibongkar.

PAS menolak perlaksanaan cukai GST oleh kerajaan BN dan melihatnya
salah dan bertentangan dengan sistem percukaian Islam yang antara syarat
utamanya melarang rakyat jelata miskin dibebankan.

PAS malah mengemukakan cadangan cukai alternatif yang lebih baik dan tidak akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

PAS menolak polisi kerajaan yang menjadikan pendidikan anak bangsa
sebagai satu perniagaan. Ia membebankan rakyat dan memangsakan anak
bangsa dengan hutang peribadi seawal usia mudanya. Ia adalah bebanan
hidup yang mesti dihapuskan oleh kerajaan.

Kelantan sebagai model

Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan BN pula jadi tukang yang meletakkan bebanan ke atas anak muda.

PAS menolak ketidakadilan dan kezaliman secara konsisten. Ia adalah
lebih mudah untuk menilainya kerana neraca PAS adalah pada hukum-hukam
agama dan sumber rujukannya yang unggul.

Anda akan sentiasa teruja untuk melihat PAS merumus dan bertindak berlandaskan agama di dalam semua isu-isu negara.

Keempat, PAS menonjolkan Kelantan sebagai model
kecil pentadbiran Islam yang dilaksanakan dalam negara. Hampir 30 tahun
dengan rekod pentadbiran yang sifar rasuah adalah menakjubkan.

Bandingkan dengan parti-parti lain yang turut diberi peluang
memerintah dan mentadbir. PAS nyata di tempat pertama dalam kebersihan
dan ketelusannya.

Saksikan pembaharuan-pembaharuan yang mengujakan yang dilakukan oleh
28 tahun pemerintahan PAS di Kelantan. Dan janganlah lupa, ia adalah
kejayaan di sebalik tekanan penuh kejahatan oleh regim Tun Dr Mahathir
Mohamad dan BN yang dipenuhi adegan kediktatoran.

PAS menuju kejayaan

Kelima, PAS berjaya mengukuhkan dirinya dengan
lakaran masa depan untuk negara yang sejahtera.

Untuk dirinya,
seterusnya untuk negara, PAS memperkenalkan konsep Budaya Politik Matang
Dan Sejahtera (BPMS). Ia kini menjadi praktis politik yang begitu
memajukan PAS dan diterima rakyat.

PAS memperkenalkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai
wawasan terbaik melihat potensi negara memajukannya ke arah sebuah
negara model untuk negara-negara serantau dan juga untuk negara-negara
Islam menjelang 2051.

Ia adalah julung kali dibentangkan oleh PAS semenjak penubuhannya.

Itulah PAS pada saat ia bergerak melangkah gagah menuju PRU ke-14.
Harapan adalah menggunung agar rakyat memilih PAS sebagai parti pilihan
terbaik demi sebuah negara Malaysia yang lebih baik dan cemerlang.


*NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah penyandang kerusi parlimen Pasir Mas dan anggota Jawatankuasa Pusat PAS.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons