April 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


ANTARAPOS

Post Pic

 

 

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah
Rayuan di sini, untuk mengenepikan keputusan Pengarah Jabatan Penjara
dan dua lagi yang tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan ahli
keluarga ketika lawatan di penjara.

 

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam
keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dan
terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan
itu.

 

BH Online melaporkan, Hakim Ahmadi memutuskan bahawa permohonan itu tidak mempunyai merit, tidak munasabah dan tidak berasas.

 

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

 

Turut bersidang bersama adalah Datuk Ong Lam Kiat Vernon dan Datuk Suraya Othman.

 

Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri
Dalam Negeri sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul
Bolhassan.

 

Manakala Anwar dan ahli keluarganya diwakili peguam N Surendran, Latheefa Koya, Sanjeet Kaur, Shahid Adli Kamaruddin.

 

Pada 18 Mei 2016, Anwar, 70, dan keluarganya memfailkan semakan
kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah Jabatan
Penjara dan dua lagi untuk mencabar sekatan bagi sentuhan fizikal ketika
lawatan di penjara.

 

Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 14 Mac tahun lalu.

 

Selain Anwar, turut dinamakan sebagai plaintif adalah isterinya Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, serta anaknya Nurul Izzah, 37, Nurul
Nuha, 33, Nurul Ilham, 30, dan Nurul Iman, 27.

 

Empat cucunya iaitu anak kepada Nurul Izzah dan Nurul Nuha turut dinamakan sebagai plaintif.

 

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh
selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd
Saiful Bukhari Azlan dan bakal dibebaskan Jun ini.

 

 



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons