Perdana Menteri berkata, tuduhan sedemikian tidak adil kerana pelaburan berkenaan memberi manfaat besar kepada rakyat seperti pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer yang menghubungkan ibu negara dan negeri-negeri di Pantai Timur.

Mereka kata kita jual kedaulatan negara kepada China tetapi dahulu apabila Dasar Pandang Ke Timur (diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan pelaburan Jepun di Malaysia, tidak pula timbul isu jual negara.

“Apa yang berlaku dahulu dan kini sama sahaja iaitu mewujudkan pekerjaan serta mengembangkan ekonomi negara dengan berpegang kepada dasar keadilan, sekali gus memberi manfaat kepada semua,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ke-31 Gabungan Persatuan Cina Pahang (GBCP) di sini malam ini.

Yang hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden GBCP, Tan Sri Pheng Yin Huah.

Menurut Najib, beliau akan memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada kerjasama dan pelaburan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Ke­wa­ngan berkata, kejayaan membawa pelaburan berjumlah RM144 bilion dari China adalah hasil hubungan baik antara dua negara yang terjalin sejak pentadbiran bapanya ketika menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua pertubuhan Cina agar meletak kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam membawa Malaysia ke fasa seterusnya.

“Beri kepercayaan kepada kerajaan ini kerana kita sudah membuktikan mampu mentadbir dengan cukup baik,” katanya.