April 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


 

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin berkata 95% calon sudah dimuktamadkan dan hanya beberapa kerusi di Selangor.

 

 

MUAR: PPBM akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada
pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Ahad ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden PPBM itu berkata, hampir 95% calonnya sudah dimuktamadkan.

“Ada beberapa kerusi di Selangor yang kami belum putuskan lagi,
tetapi kami akan selesaikannya dalam minggu ini juga,” katanya pada
sidang media di pejabat parti itu di Pagoh, hari ini.

Beliau berkata, pengumuman calon ditangguhkan kerana ada beberapa
kerusi dengan terlalu ramai calon berpotensi dan sesetengah kerusi pula
nampaknya tiada calon sesuai.

“Kami rasa Ahad ini (15 April) adalah baik kerana ia akan memberi
masa secukupnya kepada calon melihat landskap kerusi mereka dan turun
padang menemui pengundi sebelum hari mengundi.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari
mengundi, keputusan yang menimbulkan kontroversi kerana Rabu terletak di
pertengahan minggu.

Sehingga kini, PPBM hanya mengumumkan Ketua Pemudanya, Syed Saddiq Abdul Rahman akan bertanding di kerusi Parlimen Muar.

Pembubaran sementara PPBM

Sidang media hari ini bertujuan mengumumkan tindakan PPBM memfailkan
semakan kehakiman ke-2 terhadap arahan pembubaran sementara oleh Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 5 April lalu.

JPPM berkata, PPBM dibubarkan sementara selama 30 hari kerana gagal
mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta
penyata kewangan parti itu setelah diarah berbuat demikian pada 28
Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan
1966.

Minggu lalu, PPBM memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah untuk
membatalkan arahan JPPM berhubung pembubaran sementara parti itu.

Parti itu juga mahu mahkamah menyekat JPPM mengambil tindakan
menyalahi undang-undang bagi menghalang PPBM menjadi parti politik sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu menolak
permohonan semakan kehakiman PPBM bagi mencabar keputusan JPPM.

Hakim, Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan kebenaran difailkan
parti itu atas alasan arahan pembubaran sementara yang dibuat JPPM di
bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, bersifat akademik.

Hari ini, Muhyiddin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan dihukum atas tindakan JPPM itu.

“Ia menimbulkan kemarahan rakyat yang percaya kepada keadilan dan
demokrasi. Mereka boleh menipu dan cuba mengurangkan pengaruh kita,
tetapi mereka akan dihukum,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

 LIHAT VIDEO DI SINI



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons