April 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Oleh Hashim Mustafa

Apa yang ada pada PH sebenarnya hanya matlamat mahu memperoleh kuasa,
memegang kuasa dan selepas itu bercakaran. Mereka tidak ada kesepakatan,
apatah lagi permuafakatan.

 

 

Dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara berjalan teratur, salah satu elemen yang penting adalah kestabilan politik.

Kestabilan politik memainkan peranan amat penting bagi memastikan
arah tuju sesebuah negara teratur, menjamin perjalanan ekonomi yang
kukuh dan memastikan negara itu terus membangun.

Justeru, adalah penting untuk Malaysia, khususnya rakyat negara ini
menjaga kestabilan politik dan membuat pilihan tepat menjelang PRU14
ini.

Pengkhususan dan keutamaan yang perlu menjadi kriteria pemilihan
adalah untuk memastikan pemilihan kerajaan yang menjaga kestabilan
politik, merencana kemajuan ekonomi dan amat penting sekali adalah
mendahulukan pembangunan sosial bagi memastikan nasib rakyat terbela.

Pemilihan semestinya sebuah parti politik yang moderat, tidak
berpegang pada sikap ekstremis dan seharusnya stabil dalam membentuk
gabungan untuk mentadbir negara.

Memandangkan negara kita ini adalah negara berbilang kaum dengan adat
budaya berbeza, maka semestinya setiap segmen kaum itu mahu memastikan
kedudukan mereka terjamin.

Seharusnya parti politik mempunyai representasi kaum dalam kerangka perpaduan dan permuafakatan yang sempurna.

Ini mesti ditentukan dan rakyat semestinya dapat melihat
permuafakatan sihat dan bukan permuafakatan hanya berpaksikan matlamat
sementara atau “temporary engagement” yang tidak konklusif.

Permuafakatan yang ada harus kukuh dan bertoleransi.

Sungguhpun begitu, kompromi harus dijalankan dalam bentuk yang sihat dan tidak ekstremis dalam memastikan matlamat tercapai.

Ini harus ada dan rakyat harus jelas memilih representasi mereka dari
parti yang mempunyai dan dapat memupuk permuafakatan baik dan ikhlas.

Rakyat jangan terpengaruh dengan kempen sahaja.

Kempen hanya seperti iklan menyatakan perkara baik untuk meraih undi.

Rakyat seharusnya menilai secara menyeluruh sama ada parti yang
dipilih dapat memupuk nilai-nilai permuafakatan sempurna, tidak
bercelaru dan mempunyai agenda pembangunan teratur.

Kita harus berdiri atas bumi nyata dan tidak melaung-laung kebaikan semata-mata tanpa penilaian realistik.

Adakah Pakatan Harapan (PH) yang baru diwujudkan mempunyai agenda
kukuh dari segi permuafakatan atau mereka terbit hanya untuk desakan
mendapatkan kuasa?

Apakah kita mahu menyerahkan nasib bangsa kepada sebuah pakatan baru dan belum teruji mempunyai kestabilan dan agenda serupa.

Apa yang kita nampak adalah mereka tidak sebenarnya mempunyai
permuafakatan sempurna dan hanya mempunyai satu agenda, iaitu untuk
mendapatkan kuasa.

Permuafakatan mereka seakan-akan satu pernikahan kontrak dan tidak ada penyelarasan serta persefahaman serupa.

Hari ini mereka bersatu dan kemudian mereka berpisah.

Sejak mula lagi, pakatan yang ada sewaktu itu dalam Barisan
Alternatif sudah menunjukkan mereka tidak selari dan tidak ada
persamaan, apatah lagi permuafakatan.

Setelah tertubuhnya Barisan Alternatif dalam usaha mencabar kuasa
Barisan Nasional (BN), mereka bercakaran dengan DAP, lalu DAP mengambil
keputusan untuk keluar daripada Barisan Alternatif kerana bersengketa
dengan PAS.

Pada ketika itu, rundingan mengenai negara Islam gagal mencari jalan tengah yang baik.
Setelah itu, Pakatan Rakyat juga berpecah dengan PAS.

PAS menarik diri daripada Pakatan Rakyat kerana tidak sehaluan dengan
agenda DAP, malah sudah menunjukkan penentangan secara terbuka kepada
PKR.

Ini tidak menggambarkan satu pakatan yang sempurna dan bertoleransi, serta mempunyai harapan sealiran.

Mereka hanya bergabung untuk matlamat kuasa.

Mahukan kuasa tanpa mempedulikan kestabilan dalam pakatan mereka sendiri.

Kita boleh lihat tindakan-tindakan mereka berbentuk ekstremisme
seperti membuat keputusan melulu, tidak setuju keluar dan bantah, serta
bila ada matlamat, mereka bergabung sementara.

Ini tidak menggambarkan permuafakatan dan tanpa permuafakatan antara
mereka, di mana harus kita cari harapan untuk sebuah kerajaan yang
stabil, lebih bertoleransi dan berwawasan?

Kita perlu ingat matlamat yang sementara tidak menjanjikan masa depan lebih terurus dan berdaya maju.

Kita tidak seharusnya memperjudikan nasib dan masa depan rakyat
dengan hanya mempercayai kempen politik yang tidak mempunyai kekukuhan
baik dalam gabungan mereka.

Rakyat Malaysia harus menilai dan memilih kerajaan yang lebih mencerminkan kekukuhan, kematangan dan berwibawa.

Apa yang ada pada PH sebenarnya hanya matlamat mahu memperoleh kuasa, memegang kuasa dan selepas itu bercakaran.

Mereka tidak ada kesepakatan, apatah lagi permuafakatan.

Tanpa pakatan, tanpa permuafakatan antara mereka, di mana lahirnya harapan untuk negara kita ini?

*Hashim Mustafa ialah pembaca FMT.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons